"OrangPadi" tidak bertanggungjawab keatas pembaca yang mungkin akan mengalami tekanan jiwa, masalah mental, penyakit ulu hati, barah otak, sindrom down, kuku tercabut, gigi berkulat serta apa juga masalah-masalah yg bakal pembaca hadapi melalui blog ini.

7 September 2012

Pin It

Posted by Unknown | 0 Comments

Clash Of The Hulubalang


DUNIA persilatan Melayu sememangnya bertuah kerana memiliki lelaki ini. Dia handal bersilat dan dalam masa yang sama pandai mengarah filem dan dokumentari. Gabungan kedua-dua portfolio itu membolehkan Jak Othman, 49, memperkenalkan silat ke mata dunia menggunakan kuasa layar kaca. Kepercayaan Jak kepada ‘kuasa’ itu bertitik tolak daripada kejayaan siri dokumentari sulungnya yang berkaitan seni bela diri pada tahun 1994 iaitu Mahaguru.
Menurut Jak, siri dokumentari yang disiarkan sehingga empat musim di TV3 itu mendapat sambutan hebat sehingga mampu mengumpul sebanyak tiga juta penonton. “Jumlah itu memang tidak dijangka bagi sebuah rancangan dokumentari berkaitan seni bela diri. Bagaimanapun, siri itu bukan tertumpu kepada silat sahaja tetapi turut mengandungi episod yang memaparkan seni bela diri yang lain.

“Pada mulanya impian saya adalah untuk mengkomersialkan seni bela diri yang ada di negara ini,” katanya. Jak meninggalkan negara ini pada tahun 2004 untuk bekerja dalam bidang perfileman komersial di Australia. Namun, dia tidak lama di Negara Kanggaru itu. Selepas empat tahun bekerja di Sydney, dia pulang ke Malaysia. Selepas kembali, Jak mendapati populariti seni silat dalam kalangan orang Melayu sendiri mula jatuh. Sebagai seorang pejuang seni bela diri itu, Jak nekad ingin menyemarakkan kembali seni silat.

“Saya nekad untuk mempopularkan semula silat dengan medium yang pernah digunakan sebelum ini iaitu program televisyen. Dengan bantuan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), saya berjaya mendapatkan dana sebanyak RM150,000 untuk menghasilkan dokumentari Inside Silat,” kata lelaki yang belajar ilmu silat sejak berusia lima tahun ini.

Dokumentari itu disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2008 dan menggondol Anugerah Dokumentari Kebudayaan Terbaik dan Anugerah Suntingan Terbaik menerusi Festival Dokumentari Malaysia 2009. Tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan lalu, Jak pada tahun ini sekali lagi ingin merakamkan momen aksi silat menerusi buah tangan terbarunya berjudul Clash of The Hulubalang (Pertembungan Hulubalang). Menurutnya, dokumentari yang dijangka tamat penggambaran pada penghujung Jun ini turut memaparkan sejarah, keunikan dan falsafah setiap pertubuhan silat terbabit.

“Sebanyak lapan pertubuhan silat terpilih untuk dimuatkan dalam dokumentari itu pada setiap episod termasuklah Persatuan Seni Silat Serimau Hitam. Seni silat lain ialah Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Gayung Pusaka, Anggerik Desa, Gayung Malaysia dan Silat Lincah serta pasukan 1Malaysia,” katanya lagi
Rakaman dokumentari itu dijangka ditayangkan di RTM dan beberapa stesen televisyen antarabangsa mulai bulan Ogos depan. Jak turut memberitahu, dokumentari tersebut bakal ditayangkan di negara Arab dan peluang untuk menarik lebih ramai golongan tersebut meminati silat adalah cerah.

“Pihak Spacetoons International yang mempunyai lebih 30 saluran televisyen di negara Arab telah mengesahkan untuk membeli dokumentari itu. Saya gembira kerana syarikat itu menawarkan khidmatnya kepada kira-kira 300 juta penonton. Ini merupakan peluang yang baik untuk memperkenalkan silat kepada mereka,” kata Jak yang turut mencari pasaran di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea. Menurut Jak, dokumentari itu bakal disiarkan dalam bahasa Inggeris dan membawakan seorang guru silat dari Australia sebagai pengacara rancangan 11 episod itu.
Pengacara dokumentari Clash of the Hulubalang, Ed Chard bukan calang-calang orang. Dia bukan setakat pengacara Inggeris biasa, sebaliknya mempunyai pengalaman luas dalam bidang silat. Berasa bertuah kerana diberi kepercayaan kali kedua setelah mengendalikan dokumentari Inside Silat bersama Jak, Ed berkata penglibatannya itu turut menambah ilmu persilatannya.

“Saya bertuah kerana dipilih menjadi pengacara kali kedua dalam dokumentari berkaitan silat. Saya boleh menimba lebih banyak gaya persilatan dan bertemu dengan pelbagai guru silat di Malaysia. Walaupun saya sudah lama mempelajari silat, tetapi ilmunya masih banyak yang perlu dicari,” kata anak kelahiran London, England itu kepada Jurnal.

Ed merupakan seorang guru silat di Australia. Dia menjadi jurulatih kepada pelajar silat di sana melalui Persekutuan Harimau Berantai Pancak Silat Australia yang ditubuhkan oleh Jak. Dia tidak berniat untuk menerima apa-apa anugerah daripada kecintaannya itu terhadap seni silat. Bagi Ed, kesempatan menjadi medium untuk masyarakat mengenali silat adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Kenangan menghasilkan dokumentari Inside Silat pasti terpahat sampai bila-bila. Saya suka memegang tanggungjawab ini, apatah lagi apabila ramai yang menerimanya. Ketika bersiar-siar di negara ini, saya pernah ditahan oleh seseorang yang tidak dikenali. Katanya, dia sangat menyukai dokumentari tersebut. Bagi saya, itu lebih penting kerana ada orang yang mengingatinya,” kata Ed yang menggemari masakan rendang.

Kru-kru yang dipilih Jak juga bukan kru biasa. Mereka seramai sembilan orang dan terdiri daripada kru teknikal yang membantunya sepanjang penggambaran yang bermula 29 April lalu. Iskandar Isa, 35, dan Azizul Farmy Rostam, 37, merupakan tulang belakang penggambaran dokumentari itu. Mereka bertindak sebagai pengarah seni dan penolong pengarah seni. Menurut mereka, peluang yang diberikan untuk bekerja dalam produksi yang memaparkan latar bersifat epik seperti itu menuntut kesabaran yang tinggi.

“Peralatan props yang digunakan harus bertepatan dengan tema dokumentari ini iaitu silat Melayu. Justeru, kami sedaya upaya menyediakan suasana yang akan menimbulkan suasana itu. Tidak sukar bekerja dengan produksi ini kerana Jak tahu apa yang diperlukan dalam setiap episod dokumentari ini,” kata mereka. Seorang jurulatih silat daripada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Mohamad Wahab, 38, yang menyokong usaha mendokumentasikan aksi-aksi seni silat berpendapat dokumentari itu mampu mempopularkan seni bela diri itu.

“Strategi ini sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan warisan kerana ia tidak akan lenyap dan boleh sentiasa diulang tayang kepada khalayak. Ia boleh popularkan kembali seni silat kerana ramai antara kita yang lebih mengagungkan seni bela diri asing,” katanya. Seramai lima orang anak murid Mohamad turut menjalani penggambaran dokumentari tersebut yang berlangsung di Gurun, Kedah dan di Kuala Lumpur.

antalhaq

0 Comments:

"orangpadi" tidak akan bertanggungjawab keatas pengomenan anda jika ianya akan dijadikan sebagai satu bahan makian, ketawaan,saki hatian atau bahan buktian.